Thursday, 3 October 2013

Wasatiyyah dalam UMNO: Fathul Bari Selangkah ke EXCO



UMNO perlu memberi pengiktirafan dan platform seluas-luasnya kepada golongan agama untuk bersuara lebih lantang membabitkan isu-isu Islam tanpa terikat dengan kepentingan politik.

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, ruangan tersebut tidak semestinya diterjemahkan melalui penubuhan sebuah majlis atau sayap berlainan tetapi hanya perlu memperkasakan biro agama sedia ada dengan menambah baik struktur, suara dan gerakan agar dapat dirasai kewujudannya oleh rakyat.

Beliau yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan Exco Pemuda pada pemilihan parti kali ini berkata, UMNO perlu merealisasikan secara serius usaha untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti dengan tidak bersikap apologetik sebaliknya menjuarai isu-isu Islam supaya pihak lain tidak mengambil kesempatan untuk menuduh parti itu menolak Islam.

"Kita mahu melihat golongan agama dalam UMNO dapat berperanan lebih luas dengan memberikan pandangan mereka dalam konteks nasional dan antarabangsa supaya suara orang agama dalam parti ini bukan berbentuk individu tetapi berpendirian mewakili parti keseluruhannya.

"Pada masa sama platform tersebut harus bebas dengan keterikatan politik yang meletakkan agama lebih tinggi tidak hanya sekadar mampu membaca doa di majlis-majlis penganjurannya supaya pengiktirafan itu dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada UMNO," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sejarah UMNO membuktikan parti itu pernah melahirkan beberapa tokoh agama antaranya Allahyarham Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dan Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, walaupun pelbagai usaha memartabatkan Islam telah dilaksanakan UMNO, tetapi persepsi negatif yang wujud di minda rakyat adalah sebaliknya.

Oleh itu, jelas beliau, dengan penyertaan lebih ramai golongan agama dalam UMNO kali ini mampu membuktikan parti telah melakukan proses transformasi dan pemerkasaan Islam selain telah menubuhkan Institut Wasatiyyah serta institusi-institusi Islam sedia ada yang telah pun diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Rakyat tidak sewajarnya hanya melihat kepada kekurangan tertentu tetapi perlu ingat kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menggerakkan Islam dari semasa ke semasa sejak awal penubuhan negara," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment